16 SEPT : Pembinaan Bulatan Sungai Baru di Jalan Padang Kamunting membantu melancarkan aliran trafik di laluan utama Sungai Udang–Masjid Tanah yang sebelum ini sering sesak pada waktu puncak.
Persimpangan tiga di kawasan itu sebelum ini menjadi antara lokasi yang berdepan aliran trafik padat terutama pada waktu pagi dan petang ketika penduduk berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah serta menjalankan urusan harian.
Bulatan dengan kos RM685,988 itu terletak dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu merangkumi pembinaan struktur bulatan, penurapan semula jalan, penyediaan garisan jalan baharu, pemasangan lampu jalan solar LED serta penambahan perabot keselamatan jalan.
Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 26 Ogos iaitu lima hari lebih awal daripada tarikh ditetapkan pada 31 Ogos.
Kewujudan bulatan baharu itu turut mendapat reaksi positif pengguna media sosial menerusi akaun TikTok JKR Melaka, Melaka Hari Ini dan akaun rasmi Ketua Menteri Melaka.
Antara maklum balas dikongsi pengguna adalah keadaan trafik yang lebih lancar di laluan menghubungkan Tanjung Bidara, pekan Masjid Tanah dan Sungai Udang.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut meninjau sendiri lokasi projek berkenaan dengan menaiki motosikal.
Pembinaan bulatan itu dijangka memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya, selain meningkatkan aspek keselamatan di persimpangan berkenaan.
