17 SEPT : Pelbagai inisiatif di bawah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dianjurkan di Melaka membuktikan keberkesanannya dalam membantu masyarakat termasuk melibatkan perihal harta pusaka.
Perunding Perwarisan Harta Pusaka Islam Melaka, Shaari Ismail berkata program turun padang berkenaan memberi ruang kepada penduduk mengatasi sikap ‘malu bertanya’ yang selama ini menjadi punca utama aset waris terbiar tanpa diurus.
“Hampir RM90 bilion harta beku dilaporkan di Malaysia dan kira-kira 90 peratus daripadanya adalah milik orang Islam.
“Melalui program ini, rakyat dapat berjumpa terus dengan pihak berwajib untuk mendapatkan jalan penyelesaian undang-undang agar harta tidak terus terperam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Klinik Harta Pusaka Kecil sempena program WRUR di Balairaya Pengkalan Balak, Masjid Tanah, hari ini.
WRUR merupakan program cetusan idea Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang merangkumi pelbagai aktiviti termasuk kesihatan, klinik guaman dan Paramedik Komuniti (Parakom).
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) negeri, Maszura Mohamad berkata Melaka mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya menyelesaikan 70 peratus daripada 3,858 fail permohonan pusaka yang diterima setakat Ogos 2026 mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata hanya 145 fail atau di bawah lima peratus dikategorikan bermasalah susulan isu pertikaian mahkamah serta kematian berlapis generasi lama.
“Bila arwah sudah lama meninggal dunia, waris bertambah dari anak hingga cicit yang sudah tidak saling kenal. Justeru, waris dinasihatkan bermusyawarah dan buat kumpulan WhatsApp keluarga terlebih dahulu sebelum hadir ke pejabat, selain memanfaatkan permohonan secara dalam talian melalui portal MyLand (www.myland.gov.my),” katanya.
Beliau turut menyifatkan program WRUR amat membantu mengatasi kekangan tenaga kerja jabatan untuk mendekati masyarakat.

OLEH: DANISH AIMAN