21 SEPT : Keselamatan dan kesucian dua Tanah Haram, Makkah al-Mukarramah serta Madinah al-Munawwarah perlu terus dipelihara daripada sebarang bentuk ancaman atau konflik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu perlu diberi keutamaan tanpa mengira perbezaan politik atau kepentingan antara negara.
Beliau berkata, keselamatan orang awam, jemaah haji dan umrah serta tetamu Allah di kedua-dua kota suci itu perlu sentiasa menjadi perhatian.
“Pendirian saya jelas, Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah mesti kekal terpelihara daripada sebarang bentuk konflik, ancaman atau tindakan ketenteraan.
“Walau dari mana sekalipun datangnya ancaman ini atau siapa pun yang berada di belakangnya, saya menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam, para jemaah haji dan umrah serta tetamu Allah, atau mencemarkan dua tempat suci umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia menghormati kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Arab Saudi serta menghargai hubungan persaudaraan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Menurutnya, apa juga perselisihan politik atau ketenteraan tidak seharusnya menjadikan Dua Tanah Haram sebagai medan pertarungan atau bahan pertaruhan.
“Saya menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan bersolidariti mempertahankan kesucian dua Tanah Haram, melangkaui perbezaan politik dan sempadan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT terus memelihara Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud serta Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Beliau turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Arab Saudi serta keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara itu.
“Semoga Allah SWT terus memelihara Kerajaan Arab Saudi, mengurniakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepadanya serta melindungi dua Tanah Haram dan seluruh tetamu Allah daripada segala ancaman dan keburukan,” katanya.
Terdahulu, laporan mengenai ancaman terhadap keselamatan Makkah dan Madinah mendapat perhatian selepas berlaku insiden melibatkan dron di Arab Saudi.