24 SEPT : Kampung Pulau yang suatu ketika dahulu hanya dikenali penduduk sekitar Masjid Tanah, Melaka kini semakin mendapat perhatian selepas seorang anak kelahirannya diberi amanah menerajui pentadbiran Melaka.
Bagi penduduk kampung itu, perubahan berkenaan bukan sekadar nama Kampung Pulau semakin disebut, malah mereka turut menjadi saksi perjalanan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh daripada seorang kanak-kanak yang membesar di situ sehingga menjadi Ketua Menteri Melaka.
Bagi Hawi Mahmud, 64 yang mengenali Ab Rauf sejak kecil, perkembangan itu menjadi kebanggaan tersendiri buat penduduk kampung.
“Daripada kecil kita memang dah kenal beliau. Nakal-nakal dia, kita tahulah macam mana, tetapi apabila beliau dah jadi pemimpin, Alhamdulillah, kampung kita ada seorang pemimpin.
“Tak sangka daripada kampung kita boleh lahirkan seorang Ketua Menteri Melaka,” katanya.
Menurutnya, antara perubahan paling ketara di kampung itu apabila ia semakin dikenali dan banyak program diadakan di kawasan berkenaan, selain menerima kunjungan tetamu kenamaan.
“Dulu mana ada orang kenal Kampung Pulau, tetapi sekarang semua orang tahu Kampung Pulau.
“Yang di-Pertuan Agong datang. TYT (Yang di-Pertua Negeri Melaka) pun datang. Dahulu mana ada dan sejak beliau jadi Ketua Menteri, orang-orang besar datang ke sini. Alhamdulillah, kampung kita mula dikenali,” katanya.
Katanya, perkembangan itu memberikan kebanggaan kepada penduduk kerana kampung tempat mereka membesar kini turut menjadi tumpuan di peringkat negeri.
Hawi turut melihat sendiri beberapa perubahan menerusi inisiatif kerajaan negeri termasuk sistem kubur digital yang disifatkannya memudahkan waris mengenal pasti lokasi pusara ahli keluarga.
“Kalau kita jarang balik kampung, kita sendiri pun kadang-kadang tidak tahu kubur datuk nenek kita di mana.
“Apabila ada inisiatif kubur digital, kita boleh tahu lokasi malah boleh beritahu anak cucu kita di mana, senang mereka cari,” katanya.
