25 SEPT : Penantian 36 tahun akhirnya berakhir apabila skuad sepak takraw negara kembali menghadiahkan pingat emas acara regu berpasukan lelaki di pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Lebih manis, kemenangan itu hasil menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada aksi final di Paloma Mizuho Arena.
Kejayaan itu mengulangi pencapaian yang pernah dilakar Malaysia pada Sukan Asia 1990 di Beijing, apabila skuad negara turut menewaskan Thailand untuk meraih emas acara berkenaan.
Regu utama negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias membuka langkah dengan kemenangan 15-9, 5-15, 15-11 ke atas Marukin Phanmakon, Phutawan Sopa dan Pornthep Tinbangbon.
Momentum itu kemudian diteruskan regu kedua negara menerusi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang menundukkan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor 15-13, 15-10.
Bagi tekong negara, Syahir, kemenangan itu cukup sukar digambarkan dengan kata-kata selepas pasukan melalui pelbagai cabaran termasuk masalah kecederaan sebelum temasya.
“Alhamdulillah, apa yang berlaku tadi, semua yang bermain itu sejujurnya bukan dari kami. Kami tahu kelemahan kami di mana, tetapi kami sangat bersyukur kerana Allah memberikan pinjaman kudrat kepada kami dan itulah yang kami persembahkan,” katanya.
Azlan turut mengakui kemenangan bersih 2-0 itu di luar jangkaan, terutama selepas beberapa pemain bergelut dengan kecederaan sebelum berangkat ke Nagoya.
“Saya sendiri pun tidak tahu hendak cakap bagaimana boleh menang 2-0. Kami tidak sangka boleh menang 2-0 dengan Thailand.
“Kami tahu Thailand sedang meningkat, manakala kami banyak bergelut sebenarnya sebelum datang ke sini. Syahir cedera, saya cedera dan ramai yang cedera, tetapi Alhamdulillah Tuhan membantu,” katanya.
Bagi Azlan, kejayaan itu membawa makna tersendiri kerana generasinya akhirnya berjaya menamatkan penantian 36 tahun untuk emas acara berkenaan.
“Sukan Asia sudah lama, 36 tahun. Lebih lama daripada zaman jurulatih kami. Jadi 2026 ini mencipta sejarah untuk generasi kami. Alhamdulillah,” katanya.
Namun, Azlan menegaskan perjuangan mereka belum berakhir apabila skuad negara masih mempunyai tugasan dalam acara regu pada temasya berkenaan.
Kejayaan skuad sepak takraw itu turut menghadiahkan Malaysia pingat emas keempat pada temasya berkenaan.
