28 SEPT: Rakyat Malaysia menjadi saksi kebersamaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selama puluhan tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Allahyarham sentiasa berada di sisi bekas Perdana Menteri itu, termasuk ketika beliau memikul amanah kepada negara.
“Pagi ini, negara berduka atas pemergian Allahyarha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, seorang tokoh wanita yang begitu dihormati dan dekat di hati rakyat Malaysia.
“Selama puluhan tahun, kita semua menjadi saksi Allahyarham menjadi teman hidup Tun, berkongsi hari-hari bersama, membesarkan keluarga dan mendampingi beliau ketika memikul amanah kepada negara.
“Sukar untuk membayangkan betapa sunyinya kehilangan insan yang begitu lama berada di sisi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Allahyarham turut dikenang atas khidmatnya sebagai seorang doktor serta keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan Allahyarhamah sepanjang hayat menjadikan beliau insan yang disayangi serta contoh teladan kepada rakyat Malaysia.
“Saya dan keluarga merakamkan salam takziah yang sedalam-dalamnya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga,” katanya.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima amal kebajikannya serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman.
“Saya juga mendoakan semoga Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat besar ini.
أَللّٰهُمَّ اغْفِرلَها وَارْحَمْها وَعَافِها وَاعْفُ عَنْهَا وَاجْعَلِ الْجَنَّةَ مَثْوَاهَا
Al-Fatihah,” ucapnya.
Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di Institut Jantung Negara, pagi tadi.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Allahyarham akan diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
