29 SEPT : Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka menegaskan akaun media sosial menggunakan nama ‘UMNOMelakaFans’ yang sedang tular tiada kaitan dengan parti itu, apatah lagi mewakili pendirian rasmi UMNO Melaka.
Setiausahanya, Datuk Mustafa Musa berkata sebarang kandungan, kenyataan, grafik atau komen yang diterbitkan menerusi akaun berkenaan tidak pernah mendapat kebenaran atau mandat daripada pihak UMNO negeri.
Menurutnya, penjelasan itu dibuat susulan tular satu hantaran akaun berkenaan berkaitan pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang menimbulkan pelbagai reaksi dan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Kami memandang serius penggunaan nama dan identiti yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menyebabkan masyarakat mengaitkan kandungan akaun tersebut dengan UMNO Negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak menganggap sebarang kandungan daripada akaun berkenaan sebagai kenyataan atau pendirian rasmi UMNO Negeri Melaka.
UMNO Negeri Melaka turut memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta menyerahkan segala maklumat dan bukti berkaitan yang berada dalam simpanan mereka.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengecam tindakan pengendali akaun tersebut sambil menegaskan kewujudan ‘page’ berkenaan dilihat sebagai usaha untuk memburukkan nama UMNO Melaka, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Akaun tersebut dilaporkan memuat naik komen mempertikaikan jasa dan lokasi persemadian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu yang dikebumikan di Pusara Negara, petang semalam.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun dan selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20 kira-kira jam 6.38 petang mengikut Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai kehilangan besar buat negara dengan beliau dikenang sebagai tokoh perubatan juga wanita yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan ibu dan anak serta kerja-kerja kemasyarakatan.