1 OKT : Setiap ringgit wang awam mesti diurus sebagai amanah rakyat, manakala setiap kuasa yang diberikan perlu digunakan untuk menjamin kesejahteraan mereka, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, kerajaan akan terus memperkukuh tatakelola nasional bagi menutup ruang ketirisan dan salah guna kuasa, terutama membabitkan Badan Berkanun Persekutuan.
Anwar berkata, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai tanpa pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat.
Perkara itu ditegaskan beliau menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN), hari ini.
Katanya, mesyuarat itu bersetuju supaya kajian undang-undang dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang Khairat bagi mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.
“Langkah ini penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Selain itu, mesyuarat bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.
Dasar bagi Rang Undang-Undang Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) pula akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.
Mesyuarat itu turut bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu.
Anwar berkata, usaha memperteguh integriti perlu diteruskan bagi memastikan pengurusan wang awam dan kuasa yang diamanahkan kepada kerajaan sentiasa berada pada landasan yang betul.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia