2 OKT : Berlumuran darah selepas ditikam pembantu juruterbangnya sendiri, Kapten Smit Machchhar tetap mengerahkan kudrat untuk membuka pintu kokpit ketika pesawat yang dipandunya menjunam hampir 14,000 kaki dalam tempoh kurang 30 saat.
Tindakan pantas kapten penerbangan Flydubai FZ1073 itu membolehkan krew dan penumpang memasuki kokpit sebelum penyerang berjaya ditumpaskan.
“Saya tak boleh biar sesiapa mati,”katanya.
Kata-kata itu menjadi pegangan Machchhar ketika berdepan detik cemas yang hampir meragut nyawa 174 penumpang dan anak kapal.
Menceritakan pengalaman itu menerusi panggilan video bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Jumaat, Machchhar berkata naluri penerbangannya selama 17 tahun memberitahu pesawat berkenaan sedang menuju keadaan lebih buruk jika beliau tidak bertindak segera.
Walaupun mengalami kecederaan parah di lantai kokpit, beliau merangkak menuju pintu sebelum berjaya membuka kuncinya.
Pembukaan pintu itu membolehkan krew dan penumpang memasuki kokpit untuk menumpaskan penyerang, selain memberi peluang kepada pasangan juruterbang kedua mengambil alih kawalan pesawat.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv, Isarel itu kemudian berjaya melakukan pendaratan kecemasan di Tabuk, Arab Saudi.
Machchhar kini menerima rawatan di sebuah hospital di Abu Dhabi.
Dalam perbualan itu, Modi memuji keberanian dan ketenangan Machchhar ketika berdepan situasi kritikal, selain menyifatkan tindakannya membantu menyelamatkan ratusan nyawa.
Machchhar yang masih berbalut di bahagian kepala dan tangan pula berkata beliau yakin mampu pulih sepenuhnya daripada kecederaan serta trauma yang dialami.
“Saya tidak menganggap kecederaan ini seperti luka biasa kerana pemikiran begitu akan membantutkan proses pemulihan saya.
“Saya melihat kecederaan ini sebagai satu perjalanan yang akan beransur pulih dan mengambil masa, namun saya amat yakin proses penyembuhan ini akan berlaku dan saya akan kembali sihat sepenuhnya,” katanya.