7 OKT : Barisan Nasional (BN) Melaka akan mengumumkan rakan strategik yang akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sebelum hari penamaan calon, 31 Oktober ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, rundingan dengan pihak yang berminat untuk bekerjasama akan dilakukan secara berperingkat bagi membentuk pasukan yang lebih kuat dan mantap menghadapi pilihan raya.
“Setakat hari ini kita masih lagi terbuka kepada mereka yang nak menjalankan kerana kita akan minta apakah sumbangan mereka untuk bergabung dengan kita dan apakah sokongan kita kepada mereka untuk mendapatkan satu pasukan yang lebih kuat dan mantap.
“Kita akan aturkan perundingan ini berperingkat-perperingkat. Insya-Allah kita akan umumkan sebelum hari penamaan calon siapakah rakan strategik kita yang terbaik untuk kita menjalankan urusan pilihan raya ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas susulan pengumuman tarikh pilihan raya PRN Melaka yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya, tengah hari tadi.
SPR menetapkan hari pengundian awal bagi PRN Melaka pada 10 November diikuti hari pengundian 14 November depan.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, BN tidak mempunyai prasangka terhadap mana-mana parti dan keterbukaan untuk bekerjasama diberikan kepada semua pihak.
Bagaimanapun, katanya, keputusan mengenai rakan strategik terbaik akan dikembalikan kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk diputuskan.
“Bukan keputusan saya sebab parti ini milik ahli UMNO yang telah memilih majlis tertinggi untuk membuat keputusan yang terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf sekali lagi menegaskan BN tetap mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri sebelum ini.
“(Jumlah kerusi ditandingi 21 kerusi) Itu sudah terang lagi bersuluh. Itu adalah satu garis sempadan yang saya suarakan.
“Maka kita sedang berunding untuk mempertahankan 21 kerusi dan ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil cross swap,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya memastikan kempen pilihan raya berlangsung secara tertib tanpa menjadikan perbezaan politik sebagai ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah.
“Saya harap kita kena menjalankan kempen dengan tertib yang mencerminkan kematangan kita dan kematangan kita itu mencerminkan bagaimana gaya kita memimpin.
“Kita cuba yang terbaik tanpa ada unsur kebencian, hasutan, jahat dan fitnah. Jngan fitnah banyak-banyak nanti takut fitnah makan diri. Jangan buat kerja-kerja jahat, esok jahat membunuh kita,” katanya.