13 OKT : Indonesia belum bercadang mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan di negara itu sebagai bencana nasional.
Kerajaannya menegaskan keadaan masih mampu dikawal meskipun jerebu turut menjejaskan negara jiran termasuk Malaysia.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet terhad yang dipengerusikan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta, hari ini.
“Belum lagi, belum lagi. Kami masih berupaya menanganinya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Beliau mengakui terdapat maklum balas daripada negara lain berhubung kebakaran itu, namun tawaran bantuan antarabangsa tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Prabowo mengarahkan operasi pemadaman ditumpukan di Taman Negara Tanjung Puting dan kawasan terjejas lain di Kalimantan Tengah serta Sumatera Selatan bagi melindungi kawasan hutan dan habitat hidupan liar.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Suruhanjaya Keempat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Daniel Johan menggesa kerajaan mengisytiharkan kebakaran itu sebagai bencana nasional serta menerima bantuan antarabangsa bagi menangani krisis berkenaan.
Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni pula berkata pihak berkuasa perlu terus bersiap siaga sekurang-kurangnya sebulan lagi kerana hujan dijangka belum melanda beberapa kawasan sehingga pertengahan November atau Disember.
Beliau turut memaklumkan tindakan telah diambil terhadap 26 syarikat berkaitan pelanggaran peraturan kebakaran, termasuk pembatalan lesen lima pemegang konsesi perhutanan di Kalimantan pada 21 September lalu.