14 OKT : Dewan Rakyat pada Rabu bersetuju melantik empat ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang untuk menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan itu membabitkan dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang.
Wakil kerajaan ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.
Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dari blok pembangkang.
Menurut Anwar, penguatkuasaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen selepas lebih tiga dekad dimansuhkan membolehkan Parlimen mengurus pentadbiran dan hal ehwalnya sendiri secara autonomi.
“Langkah ini merupakan penanda aras penting dalam reformasi institusi Parlimen, sekali gus memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai tonggak demokrasi berparlimen negara,” katanya.
Anwar turut berharap keempat-empat ahli Parlimen berkenaan dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh integriti dan tanggungjawab, selain mengutamakan semangat kerjasama.
Katanya, komitmen itu penting bagi memastikan Parlimen terus berfungsi sebagai institusi yang bebas, berwibawa dan mengutamakan kepentingan rakyat.