15 OKT : Pelajar Tingkatan Empat yang didakwa membunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 di sebuah sekolah menengah di Yong Peng awal bulan ini, berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika disabitkan kesalahan.
Remaja lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya pada 3 Oktober lalu.
Prosiding pertuduhan dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno berikutan kes berkenaan membabitkan tertuduh bawah umur.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di dewan sekolah terbabit antara jam 2.30 petang hingga 4 petang pada tarikh kejadian.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Suhaila Shafi’uddin Mohd.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, mahkamah menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan bedah siasat.
Menurutnya, tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin berikutan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, remaja berkenaan akan ditempatkan di bahagian berasingan dan tidak dicampurkan dengan pesalah atau tahanan reman dewasa, selaras dengan prosedur ditetapkan.
Difahamkan tertuduh tiba seawal jam 7 pagi sebelum dilihat beredar kira-kira jam 9.30 pagi selepas prosiding selesai.
Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri oleh neneknya dalam keadaan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Mangsa dipercayai berada di sekolah bagi mengikuti kelas tambahan dan dicari selepas tidak pulang ke rumah.
Polis Johor kemudiannya memaklumkan mangsa dipercayai dibunuh kerana cinta ditolak selain perasaan dendam suspek.
Antara barang kes utama ialah sebatang besi dililit dengan tali leher berwarna biru sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.