20 OKT : Penjelasan mengenai pembatalan perkhidmatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu akan dijawab kementerian berkaitan selepas pelbagai pandangan dibangkitkan sepanjang perbahasan.
“Itu perbahasan. Perbahasan tidak habis lagi, banyak orang cakap macam-macam.
“Nanti apabila penggulungan, mana-mana kementerian yang relevan akan menggulung perbahasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Lembah Pantai, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan menjelaskan asas Perlembagaan yang digunakan dalam tindakan pembatalan perkhidmatan 10 Exco Negeri Sembilan pada September lalu.
Isu berkenaan tercetus susulan pelantikan 10 Exco berkenaan dibatalkan dan diwartakan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S. P.U. 18 bertarikh 24 September 2026.
Pembatalan itu dinyatakan berkuat kuasa pada 20 September dan dibuat berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sebelum itu, mereka mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 7 Ogos lalu.