26 OKT: Isu bantahan MCA berhubung pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diselesaikan menerusi rundingan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kesemua pihak terlibat termasuk calon dan penyokong parti komponen itu tidak perlu bimbang mengenai kemelut berkenaan.
“Jangan bimbang. Dalam semangat BN, apabila kita ada masalah, kita cari jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program KPT-Siswa UTeM Prihatin@Melaka 2026, malam ini.
Sebelum ini, MCA dilaporkan tidak mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan untuk bertanding tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi MCA.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya tidak boleh menerima tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan berkenaan.
Sabtu lalu, BN mengumumkan dua wakil MCA, Datuk Ngwe Hee Sem dan Datuk Lim Ban Hong untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya serta Klebang yang dimenangi parti itu pada PRN lalu.
Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi iaitu Bemban, Machap Jaya, Klebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir namun tewas di lima kerusi.