28 OKT : Barisan Nasional (BN) mengarahkan seluruh jentera dan penyokong parti membantu serta menyokong semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hari ini.
“Bersetuju sebulat suara untuk mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan rakan strategik PAS dan rakan-rakan daripada PN bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.
“Mengarahkan agar seluruh jentera dan penyokong parti membantu sepenuh hati dan memberikan sokongan padu kepada semua calon-calon PN yang bakal bertanding di Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka, kali ini.
Perkembangan itu menyusul selepas BN dan PAS yang mewakili parti-parti dalam PN memeterai perjanjian persefahaman bagi menghadapi PRN Melaka, hari ini.
Acara khas itu dihadiri Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Asyraf Wajdi sementara PN diwakili Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam kenyataan sama, Asyraf memaklumkan UMNO bersetuju supaya BN dan PN melancarkan manifesto pilihan raya bersama bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta meneruskan pembangunan negeri Melaka.
“Menyeru agar pimpinan dan jentera parti sentiasa mengamalkan kempen pilihanraya secara berhemah dan berakhlak tanpa perlu terjebak dengan sebarang perbuatan memfitnah, mengeji ataupun memaki-hamun parti lawan,” katanya.
Selain itu, Asyraf berkata mesyuarat MKT UMNO menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, menarik balik arahan pembatalan projek berkepentingan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak.
“Menggesa agar kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan pembatalan projek-projek berkepentingan rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak yang melibatkan projek-projek pembangunan luar bandar termasuk jalan luar bandar dan projek bekalan air dan elektrik luar bandar,” katanya.