29 OKT : Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berdepan dua pertuduhan di mahkamah sudah dikembalikan semula ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini.
“Sudah, sudah. Kita buat keputusan untuk kembalikan beliau daripada peminjaman AKPS kepada polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan kedudukan Mohd Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan berhubung perkhidmatannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan pengganti Mohd Shuhaily kelak juga daripada PDRM namun tidak mengulas lanjut berkait pelantikan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata penempatan semula Mohd Shuhaily dalam PDRM akan ditentukan oleh pasukan itu kemudian.
“Kita kembalikan beliau ke pasukan polis dan polis akan menyusun kemudian,” katanya.
Mohd Shuhaily, 54 dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun, dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Beliau merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selama tiga tahun sejak 2023 sebelum dipinjamkan menerajui AKPS.
Kedudukan Mohd Shuhaily dalam AKPS menjadi tanda tanya susulan ketidakhadirannya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua AKPS yang berlangsung di Sepang, baru-baru ini.
Perhatian sebelum ini tertumpu padanya susulan video tular dan pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily, 54 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan tersebut.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kejadian itu berlaku pada 28 September lalu, ketika Mohd Shuhaily bersama pasukannya melakukan tinjauan kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA menjelang ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Dalam tinjauan berkenaan, AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) turut menjalankan operasi terhadap sindiket ‘ulat’ warga asing dan menahan seorang individu untuk pemeriksaan lanjut.
Ketika pemeriksaan itu, dua individu yang tidak terbabit dalam pasukan operasi dilaporkan merakam kejadian dan diarah memadamkan rakaman sebelum berlaku insiden tersebut.
Video yang kemudian tular pula disahkan sebagai rakaman sebenar daripada sistem CCTV KLIA, tetapi menurut AKPS, klip itu bukan daripada sumber asal kerana ia dipercayai dirakam semula menggunakan peranti lain sebelum disebarkan.