31 OKT : Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian cermin tingkap sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pecah, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 14 tahun itu mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah tren berkenaan ketika berada di kawasan jejantas motosikal Kampung Jelempok bersama empat rakannya.
“Bagaimanapun, hanya suspek yang bertindak membaling batu, manakala empat lagi rakannya tidak terlibat dalam perbuatan itu dan sekadar menyaksikan kejadian,” katanya.
Terdahulu, KTMB mengesahkan kejadian yang menyebabkan kerosakan tingkap pada bahagian sisi kiri sebuah koc tren menghala ke Alor Setar.
Dalam satu kemas kini di media sosial, KTMB menegaskan pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan kerja pembaikan dilaksanakan bagi keselamatan serta keselesaan penumpang.
Dalam pada itu, Ahmad Mohsin memaklumkan suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Guar Sanji dan merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y05 bersama kad SIM serta seketul batu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.