31 OKT : “Tak salah orang muda bertanding tetapi jangan salah pilih”.
Demikian reaksi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkait pencabarnya dari Pakatan Harapn di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka beliau mengalu-alukan penyertaan golongan muda dalam pentas demokrasi, namun beliau menekankan pentingnya pengalaman dan kecekapan mengurus masyarakat untuk menjadi seorang wakil rakyat.
Malah katanya, faktor usia bukan penghalang untuk seseorang bertanding, sebaliknya gabungan pengalaman dan kecekapan diperlukan bagi memahami keperluan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur.
“Bukan orang muda tak boleh tetapi orang muda mesti ada pengalaman yang baik supaya kita menguruskan masyarakat ini dari pelbagai lapisan umur…daripada orang muda sehinggalah ke warga emas.
“Jadi kalau nak menuju kepada pengurusan pentadbiran yang baik dia mesti menggabungkan antara pengalaman dan juga kecekapan kita menguruskan masyarakat.
“Saya mengalu-alukan orang muda supaya dia dapat menimba pengalaman yang lebih baik. Tak salah orang muda bertanding tetapi jangan salah pilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.
Pada PRN kali ini, Ab Rauf yang mewakili Barisan Nasional (BN) dicabar Setiausaha Penaja PKR Masjid Tanah, Mohd Yunazri Mustamiri yang mewakili PH.
Yunazri, 36 ketika ditemui media akui tidak menafikan rekod perkhidmatan Ab Rauf di Tanjung Bidara yang disifatkannya sudah menjaga kawasan berkenaan dengan baik.
“Isu setempat sebenarnya agak sukar kerana ini kawasan yang dijaga dengan baik oleh penyandang. Saya melihat beliau memang menjaga kawasan ini.
“Bagaimanapun, kita tidak tahu apa sebenarnya yang dikehendaki pengundi. Kita memberikan mereka pilihan untuk menentukan siapa yang mereka rasa sesuai serta dasar mana yang mahu mereka ikuti,” katanya.
