7 NOV : Prestasi Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menjadi antara kelebihan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, rekod pentadbiran negeri serta usaha pembangunan yang dilaksanakan memberi kelebihan kepada BN untuk meraih sokongan pengundi.
Katanya, PRN kali ini bukan diadakan kerana kerajaan negeri kehilangan sokongan atau tidak popular, sebaliknya bagi mendapatkan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan Melaka.
“Kita tengok PRN Melaka ini, ada juga tempias isu-isu nasional. Tapi yang memberi banyak kelebihan kepada kita adalah prestasi Kerajaan Negeri Melaka, terutamanya di bawah Datuk Seri Rauf dan juga wakil-wakil rakyat sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membantu calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz berkempen di Pasar Alor Gajah, hari ini.
Mengulas pemilihan Rembia sebagai kawasan pertama untuk dikunjungi, bekas Menteri Kesihatan itu berkata, Norazril yang berusia 45 tahun mempunyai pendekatan mesra masyarakat setempat.
Katanya, pendekatan mendekati pengundi secara langsung menjadi antara ciri yang mahu diketengahkan BN dalam kempen PRN kali ini.
