8 NOV : Suasana sarapan pagi di Warung Bukit Tasek Corner, Ayer Molek bertukar meriah apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berbalas pantun bersama calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Molek dan penduduk setempat.
Ahmad Maslan yang memang terkenal dengan kemahiran berpantun itu tidak melepaskan peluang membantu calon BN, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkempen dengan cara yang lain daripada yang lain.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menggunakan bait-bait pantun untuk mengajak pengundi memilih calon BN pada hari pengundian nanti.
Ia sekaligus menyuntik semangat calon selain membawa kemeriahan dalam suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pertemuan santai seperti itu turut membuka ruang kepada calon untuk mendekati masyarakat setempat dalam suasana lebih bersahaja di luar pentas ceramah politik.
Malah, Ridhwan sendiri tidak melepaskan peluang untuk ikut berpantun.
“Kapal dagang dari seberang,
Bawa muatan kayu meranti,
Dari Johor, Datuk Seri Maslan datang
Orang Melaka sentiasa menanti.”
Antara pantun yang dikongsi Ahmad Maslan seperti berikut:
“Dokong bukan sebarang dokong,
Buah dokong sudah terkenal,
Sokong bukan sebarang sokong,
Ayuh sokong Barisan Nasional.
Jika mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Jika mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.
“Jangan laju ibu berpesan,
Bawa kereta turun naik,
Ayuh sahabatku undi Barisan,
Calon kita orangnya baik”.
Malah ada juga pengundi yang ikut berbalas pantun dengan Ahmad Maslan.
“Bunga teratai kembang terapung,
Bunga dedap merah di pekat,
Kami semua dah pakat sekampung,
Undi biru dah memang sepakat”.
