11 NOV : Seramai 150 ahli Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya mengumumkan keputusan meninggalkan parti itu berkuat kuasa serta-merta, pada Rabu.
Bekas Timbalan Ketua Bahagian, Md Firdaus Mashor berkata, ia membabitkan ahli jawatankuasa bahagian serta beberapa cawangan termasuk Padang Jambu, Batu Hampar, Pasir Puteh, Paya Dalam, Bukit Baru Dalam dan Kandang.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan rakyat terhadap kestabilan politik, kepimpinan matang serta pentadbiran yang mengutamakan pembangunan dan kebajikan masyarakat.
“Kesemua yang terlibat merupakan pengundi dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dan Ayer Molek
“Pendirian ini dibuat atas keyakinan terhadap keperluan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kepimpinan yang dekat dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Hasnoor Sidang Hussin dan calon Perikatan Nasional bagi DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.
Md Firdaus berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai wadah yang lebih sesuai untuk mereka meneruskan khidmat kepada masyarakat setempat.
“Dengan semangat muafakat dan keterbukaan, kami bertekad untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat, memperkukuhkan kestabilan politik dan memastikan suara akar umbi sentiasa diberikan perhatian,” katanya.
Katanya, keputusan itu turut dipengaruhi gagasan Rumah Bangsa diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Foto: Facebook Melaka Kini