12 NOV: Kecelaruan politik semasa termasuk isu pengampunan bersyarat tahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib Razak dijangka membolehkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kali ini.
Keyakinan itu dinyatakan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh selepas melihat kesungguhan jentera pilihan raya BN dan PN sejak mula berkempen serta melihat isu semasa.
Katanya, berlaku kecelaruan politik dalam beberapa kes semasa dan kesempatan ini diambil rakyat untuk meluahkan rasa tidak puas hati.
“Ini termasuk langkah yang diambil pihak sebelah sana (lawan) seolah-olah tidak menghormati keputusan Yang Di Pertuan Agong (kes Najib),” katanya selepas meninjau jentera pilihan raya DUN Taboh Naning, Alor Gajah, hari ini.
DUN berkenaan adalah yang terakhir disantuni beliau untuk melihat kesiapsiagaan berkempen menjelang hari pengundian, Sabtu ini.
Malah menurut Ab Rauf, DUN Taboh Naning yang mencalonkan penyandangnya Datuk Zulkiflee Mohd Zain dijangka menyumbang kerusi kepada BN pada 14 November nanti.
“Kalau rakyat fikir kita yang terbaik, pilihlah antara yang baik untuk kebaikan bersama. Pen merah pen biru, undi biru i love you,” ujarnya.
Sementara itu, Zulkiflee yang akan menentang Junainah Sahat (PH-Amanah), menegaskan jentera BN dan PN sudah bersedia bagi memastikan pengundi keluar awal seterusnya mencapai target 85 peratus keluar mengundi di DUN Taboh Naning.
“Saya lebih santai kerana ini kali kedua dicalonkan. Masyarakat sudah kenal selain tiada masalah besar di kawasan ini,” katanya.
Tanpa niat memperkecilkan pihak lawan, Zulkiflee berkata, pengundi boleh berfikir matang kerana calon Amanah minta undi sedangkan beliau sendiri tidak boleh mengundi.
