12 NOV : Jangan jadikan Istana sebagai sasaran pertikaian politik dalam isu pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak, tegas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, sekiranya Tony Pua, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Badan Peguam Malaysia masih keliru berhubung isu itu, mereka sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Anwar sendiri pernah mengakui di Dewan Rakyat bahawa beliau membawa perkara pengampunan Najib untuk dimasukkan dalam agenda Lembaga Pengampunan.
“Jika ada kekeliruan, Tony Pua, Mat Sabu, Bar Council dan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Harapan sepatutnya mendapat penjelasan daripada Perdana Menteri.
“Dalam sesi Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024, PMX sendiri menyatakan, ‘Saya yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda’. Pemimpin utama mereka sendiri yang bawa ke Lembaga Pengampunan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, tindakan Tony Pua mempersoalkan institusi diraja juga bukan perkara baharu, malah beliau sebelum ini pernah disiasat polis susulan kenyataannya berhubung titah Sultan Selangor.
Menurutnya, setiap banduan mempunyai hak memohon pengampunan, manakala kuasa berkenaan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, keputusan pengampunan dibuat menerusi proses Lembaga Pengampunan yang turut membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara.
Malah, katanya, Yang di-Pertuan Agong sendiri sudah menitahkan bahawa perintah pengampunan bersyarat itu jelas dan perlu dihormati.
Baginda turut menegaskan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan sama seperti mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi, mengapa Tony Pua masih mahu rakyat mengajukan persoalan kepada Istana? Kalau ada persoalan mengenai pelaksanaannya, tanyalah pihak yang bertanggungjawab. Jangan pula Istana dijadikan sasaran pertikaian politik.
Jangan terlalu ghairah berpolitik sehingga lupa prinsip kedua Rukun Negara, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Pua dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu mempersoalkan keputusan pengampunan terhadap Najib dengan menyarankan segala pertanyaan berhubung perkara itu diajukan kepada pihak istana untuk mendapatkan penjelasan.
Semalam, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan kesediaan menyerahkan seluruh gajinya untuk membiayai mana-manan badan bukan kerajaan memperjuangkan tahanan rumah untuk semua kesalahan.
Sementara, Badan Peguam bertindak mencabar keputusan pengampunan bersyarat namun Jabatan Peguam Negara menolak permohonan tersebut.