13 NOV : Anak perempuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor cedera selepas terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal berhampiran Kampung Alor Setol, petang semalam.
Mangsa, 20 dilaporkan cedera pada muka dan kepala selain patah empat jari serta tulang rusuk .
Sanusi berkata, anak ketiganya itu masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) atas nasihat doktor yang mahu memantau keadaannya.
“Anak saya masih dirawat di ICU, doktor maklumkan perlu membuat pemantauan rapi terlebih dahulu.
“Esok mungkin boleh tukar ke wad biasa selepas pemeriksaan jika keadaannya lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, anaknya yang juga pelajar tahfiz sedang mengikuti program pembelajaran ‘fast track’ di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), Pokok Sena sebagai persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, kejadian itu mungkin menyebabkan anaknya tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang dijadualkan bermula 23 November ini berikutan kecederaan pada tangan kanan.
“Sepatutnya dia akan duduki SPM… ampaknya mungkin dia tak dapat teruskan sebab tangan kanannya cedera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha X-Max 250 dari kolejnya di Pokok Sena menghala ke Alor Setar.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya menyebabkan dia terbabas ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, mangsa dibantu orang awam dan pasukan perubatan sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
