18 NOV : Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sudah menghadap Sultan Perak bagi memohon pembubaran Dewan Negeri Perak dan mendapat perkenan baginda.
Pejabat itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak benar serta tidak berasas, selain mengesan penyebaran grafik menyerupai siaran berita televisyen yang boleh mengelirukan orang ramai.
Menurut Pejabat Menteri Besar Perak, terdapat juga bahan berita lama yang disiarkan semula sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan semasa Dewan Negeri Perak.
“Pejabat Menteri Besar Perak memandang serius penyebaran maklumat tidak benar, khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, pihak pentadbiran negeri sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat berkenaan.