18 NOV : UMNO menggesa penjelasan rasmi diberikan berhubung status penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membincangkan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beberapa persoalan perlu diperjelaskan, termasuk pihak yang meluluskan penyahklasifikasian dokumen itu serta sama ada keseluruhan minit mesyuarat terbabit sudah dibuka kepada umum.
“Susulan perkongsian dokumen berkenaan kepada umum, UMNO menggesa pihak bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan rasmi mengenai perkara berikut.
“Status pengelasan semula. Adakah minit berkenaan telah dikelaskan semula secara rasmi? Jika ya, bilakah keputusan itu dibuat dan siapakah yang membuatnya?
“Asas kuasa dan tujuan. Apakah asas kuasa yang digunakan, tatacara yang dipatuhi dan tujuan pengelasan semula itu?
“Skop dokumen. Adakah salinan yang beredar sepadan dengan rekod rasmi? Adakah pengelasan semula itu meliputi keseluruhan minit, termasuk lampiran berkaitan atau hanya bahagian tertentu?” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua yng memuat naik beberapa halaman dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat berkenaan.
Azalina berkata, persoalan itu timbul susulan perkembangan di Parlimen pada 12 November lalu apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kesediaan membawa cadangan penyahklasifikasian minit berkenaan ke Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, sehari kemudian, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan cadangan itu tidak dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat Kabinet, manakala proses penyahklasifikasian sedang diatur dengan mengambil kira keperluan undang-undang.
Menurut Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), bagi dokumen berstatus rahsia rasmi, keputusan untuk mengelaskannya semula perlu dibuat oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) mengikut tatacara ditetapkan.
“UMNO menegaskan bahawa ketelusan dalam pengendalian rekod Lembaga Pengampunan mesti berjalan seiring dengan pematuhan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, UMNO menghormati kedudukan Lembaga Pengampunan dan menjunjung kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.