19 NOV : Beberapa pentadbir dan guru di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak direhatkan sementara berikutan kes kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sekolah berkenaan, semalam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian yang disahkan berfungsi dengan baik juga sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah itu hari ini bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan tatacara keselamatan.
Katanya, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) juga sudah berada di lokasi untuk menyelaras tindakan segera.
“Saya memandang serius kejadian ini dan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Fadhlina, pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik dijadualkan berlangsung jam 9 pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, pelajar yang tidak terbabit dengan peperiksaan dibenarkan pulang pada Jumaat ini bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, bantuan psikososial juga sudah diberikan kepada mereka yang memerlukan sokongan susulan insiden itu.
Fadhlina menegaskan KPM tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan.
“KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti melalui hasil siasatan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa sementara pihak berkuasa melengkapkan siasatan.
Terdahulu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah SBP di Kuala Kangsar ditemukan tidak sedarkan diri dalam bangunan sekolah berkenaan kira-kira jam 6 petang, semalam sebelum disahkan meninggal dunia.
