KENYATAAN MEDIA
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober Tahun 2026 (DPT BLN10/2026) telah diperaku pada 20 November 2026 dan diwartakan pada 23 November 2026. DPT BLN10/2026 ini dibuka untuk semakan selama 60 hari mulai 23 November 2026 hingga 21 Januari 2027.
DPT BLN10/2026 ini mengandungi 41,958 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Oktober 2026 hingga 31 Oktober 2026 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 17,076 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,109 orang pemilih bertukar kategori pengundi/ status.
SPR menyediakan empat (4) kaedah semakan bagi DPT BLN10/2026 iaitu seperti berikut:
(a)Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my;
(b) Aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; (c) Aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau
(d) Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Oktober 2026 hingga 31 Oktober 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi/ status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2026. Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN10/2026, mereka boleh membuat TUNTUTAN dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2026.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN10/2026 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
Sekian, terima kasih.
DATUK KHAIRUL SHAHRIL IDRUS
SETIAUSAHA SPR