29 SEPT: Sekurang-kurangnya 14 penduduk dikhuatiri terbunuh dalam kejadian tanah runtuh awal pagi semalam akibat hujan lebat di empat lokasi di Tarakan, berhampiran Kalimantan Utara, Indonesia.
Memetik laporan Agensi, Ketua Unit Polis dan Perkhidmatan Bomba Awam Tarakan, Hanip Manisan berkata, empat lokasi terbabit adalah Juata Permai, Karang Anyar Pantai, Jalan Matahari dan Gunung Selatan.
“Di Juata Permai, tujuh orang terbunuh termasuk tiga sekeluarga iaitu bapa, ibu dan seorang anak lelaki.
“Di Jalan Matahari dan Gunung Selatan, masing-masing tiga mangsa terkorban sementara seorang lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia di Karang Anyar Pantai.
“Tanah runtuh yang berlaku di kawasan berbukit itu turut mencederakan beberapa penduduk tempatan dan memusnahkan banyak rumah,” katanya.
Beliau memberitahu, mangsa-mangsa dihantar ke Hospital Awam Daerah Tarakan.
Sebahagian kawasan Tarakan dilaporkan menerima hujan hebat sejak petang Ahad lalu hingga semalam.
Kelmarin, pegawai Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG), Guswanto, berkata sebahagian besar wilayah di Indonesia diramalkan akan dilanda hujan lebat sepanjang minggu ini.
“Berdasarkan fenomena atmosfera yang dipantau BMKG, dalam tempoh tiga hari ini hujan lebat disertai petir dan angin kencang berpotensi terjadi,” jelasnya.
Wilayah lain yang menghadapi potensi hujan ialah Kaltara, Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Bengkulu, Lampung, Banten, Jakarta, Jawa Barat dan Jawa Tengah.
Turut terjejas adalah Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Timur, Sulawesi Utara, Gorontalo, Sulawesi Tengah, Sulawesi Barat, Sulawesi Selatan, Maluku, Maluku Utara, Papua Barat, dan Papua.
Pejabat BMKG mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada kerana kemungkinan terjadi fenomena cuaca buruk seperti puting beliung, hujan lebat disertai petir dan hujan ais yang boleh mengakibatkan banjir atau tanah runtuh.