23 FEB: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu membuang masa melayan cabaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengajaknya berdebat, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman.
Muhammad Faiz dalam masa sama turut mempersoalkan pendirian Anggota Majlis Tertinggi UMNO, itu yang sering menghentam Muhyiddin itu dan menyifatkan Puad seolah-olah mempunyai dendam peribadi.
“Puad, apa masalah peribadi kamu dengan Muhyiddin sebenarnya?
“PM tidak perlu buang masa untuk melayan makhluk seperti kamu ini berdebat kerana pemimpin negara kita itu sibuk dengan urusan rakyat yang lebih patut diberi perhatian.
“Jika kemaruk sangat nak berdebat biarlah dengan watak yang sama tahap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Faiz mengulas kenyataan Puad yang mengajak Muhyiddin berdebat selepas presiden Bersatu itu menghantar surat tuntutan yang memintanya mengemukakan permohonan maaf dan memberikan pampasan RM10 juta.
Puad sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan pegawainya enggan menjalankan kuarantin ketika tiba ke tanah air daripada Indonesia.
Dia turut mempersoalkan sama ada perkara itu menyebabkan Menteri Kesihatan Adham Baba mengeluarkan arahan baru bahawa kuarantin menteri yang keluar negara hanya memerlukan tiga hari.
Dalam masa , Muhammad Faiz berkata, Puad juga perlu tahu pihak mana yang bersungguh-sungguh berulang-alik ke rumah Muhyiddin bagi memujuk Bersatu agar membentuk kerajaan PN.
“Tidak pula yang memujuk itu letak syarat mahu jawatan apa setelah kerajaan terbina kelak. Asalkan dapat tumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menghalang proksi DAP naik jadi PM, itu matlamat asalnya.
“Sekarang beberapa pemimpin Umno mendendangkan cerita kononnya kerajaan PN tidak adil terhadap parti mereka.
“Jujurlah, saya nak tanya, tidak adil kepada Umno atau tidak memenuhi hasrat peribadi yang mendakwa itu? Akar umbi Umno yang rasional pun mampu menilai keikhlasan watak-watak warlords mereka yang sering membalun kerajaan sendiri,” katanya.