23 SEPT : Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan perlu diselesaikan dengan kembali merujuk undang-undang yang menjadi asas pemerintahan negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua pihak perlu menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dalam mencari jalan keluar daripada kemelut berkenaan.
Katanya, keunikan Negeri Sembilan yang mengamalkan sistem Adat Perpatih menjadikan UUTKNS sebagai panduan penting dalam pentadbiran negeri sejak sekian lama.
“Negeri Sembilan agak unik berbanding negeri-negeri lain. Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, siapa yang betul atau siapa yang salah.
“Tetapi bagi saya sebarang keputusan atau apa-apa sahaja perlu merujuk kembali kepada undang-undang utama, iaitu undang-undang tubuh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan peranan Tribunal Bagi Antibuli (TAB) di Maktab Tentera Diraja, hari ini.
Menurutnya, dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat garis jelas perkara yang boleh dan tidak antara negeri dengan pusat yang perlu dihormati.
“Dalam Perlembagaan, apa yang boleh dan tak boleh buat antara negeri dengan pusat…ia dua benda berlainan.
“Jadi kita kena menghormati undang-undang negeri itu juga Perlembagaan Pesekutuan, jadi biarlah orang Negeri Sembilan sendiri yang cari penyelesaian, ini pendapat peribadi saya,” katanya.
Terdahulu, 10 bekas presiden Majlis Peguam menggesa Kerajaan Persekutuan untuk campur tangan bagi menyelesaikan kemelut Perlembagaan membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mereka sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan terbaharu membabitkan Tuanku Muhriz, termasuk beberapa tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang didakwa tidak melalui proses sepatutnya di bawah UUTKNS.
Dalam kenyataan bersama, mereka turut menyatakan perkembangan itu menimbulkan kebimbangan terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Pada 16 September, barisan Exco Negeri Sembilan memutuskan secara sebulat suara bahawa proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah.
Namun pada 17 September 2026, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran negeri tidak akan mewartakan atau mengambil tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkuat kuasa, serta-merta pada 20 September lalu namun Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan kesemua exco tersebut masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Semalam, Ismail mengumumkan Mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memutuskan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.
Namun, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Hari ini, Mohd Zafir dan Muzalmah mengesahkan masih meneruskan tugas masing-masing.