26 APR: Kerajaan memutuskan bahawa vaksin COVID-19, AstraZeneca akan diberikan kepada warga emas dalam Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sehingga kini sebanyak 280,000 dos vaksin AstraZaneca sudah tiba di Malaysia, sekali gus menambahkan lagi portfolio vaksin yang diperoleh kerajaan setakat ini.
Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan juga mengesahkan bahawa vaksin AstraZaneca adalah berkesan dan selamat untuk digunakan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
“Vaksin AstraZeneca selamat dan berkesan untuk digunakan. Jadi kita akan gunakan untuk 60 tahun ke atas dan kelompok yang sesuai dalam Fasa Kedua PICK.
“Pada masa sama, kita akan teliti dapatan dari negara-negara yang menggunakan vaksin ini kepada mereka berumur 18 tahun ke atas, 30 tahun ke atas dan 40 tahun ke atas,” katanya pada sidang media laporan mengenai pelaksanaan PICK hari ini.
Pengumuman itu dibuat tiga hari selepas Malaysia menerima bekalan pertama vaksin itu melalui Covax – inisiatif Pertubuhan Keselamatan Dunia (WHO) bagi menjamin akses global vaksin Covid-19.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, di United Kingdom vaksin berkenaan digunakan bermula dari umur 90 tahun dan ke bawah dan hasil kajian mendapati penggunaan vaksin AstraZeneca menunjukkan pembekuan darah yang sangat jarang berlaku.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai terdapat kira-kira 30 kes kesan sampingan termasuk pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin AstraZaneca di United Kingdom (UK) termasuk insiden yang membabitkan kematian di beberapa negara.
Namun pada 7 April lalu, pengawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU), mengesahkan tiada faktor risiko khusus termasuk usia yang dikenal pasti untuk pembekuan darah dengan vaksin COVID-19 AstraZeneca, yang mungkin berpunca dari tindak balas imun.
Ketua Agensi Ubatan Eropah (EMA), Emer Cooke, dipetik sebagai berkata faktor risiko tertentu seperti usia, jantina atau sejarah perubatan belum dapat disahkan, kerana kejadian yang jarang berlaku dapat dilihat di semua peringkat usia.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Prev Post