17 SEPT : Ketika kecemasan berlaku, anggota Paramedik Komuniti (PARAKOM) menjadi antara individu terawal yang boleh membantu mangsa sementara menunggu ketibaan ambulans.
Bagi komuniti Kampung Paya Rumput, kewujudan sukarelawan terlatih itu memberi keyakinan kepada penduduk terutama apabila berdepan situasi yang memerlukan bantuan segera.
Menurut peserta PARAKOM, Nurul Adiba Kassim, 30, bantuan awal yang diberikan bukan sahaja penting kepada mangsa, malah dapat membantu menenangkan ahli keluarga ketika berdepan situasi cemas.

“Sebagai anggota PARAKOM, ia satu usaha yang amat baik untuk membantu orang-orang kampung. Bila mereka memerlukan pertolongan, kita akan bantu dahulu sementara menunggu pertolongan daripada yang sepatutnya.
“Dalam masa yang sama, kita boleh meredakan emosi keluarga,” katanya ketika ditemui pada Program Latihan Sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) di Pangkalan Balak pada Khamis.
Nurul Adiba yang juga suri rumah turut berkongsi pengalaman apabila anak saudaranya terbabit dalam kemalangan di Tanjung Bidara, sebelum ini.
Dalam kejadian itu, Nurul Adibah berkata anggota PARAKOM memberikan bantuan awal kepada mangsa sementara menunggu ambulans tiba.
Pengalaman berkenaan membuatkan beliau melihat sendiri kepentingan adanya sukarelawan terlatih dalam komuniti, terutama ketika bantuan kecemasan masih dalam perjalanan.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan peserta program yang hadir.
Program itu disertai warga dari pelbagai peringkat umur terutama dalam kalangan belia.
Inisiatif PARAKOM dicetuskan Ab Rauf bagi membantu masyarakat mendapatkan bantuan awal ketika kecemasan sebelum ketibaan pasukan perubatan.
Bagi Nurul Adiba, anggota PARAKOM perlu terus diberikan latihan dan kemahiran tambahan supaya mereka lebih bersedia membantu masyarakat dalam pelbagai situasi.
Dia turut menyeru agar semua anggota menjalankan amanah dengan jujur dan bertanggungjawab, bukan semata-mata kerana ganjaran tetapi atas tanggungjawab membantu komuniti.
OLEH : MAISARAH HIJANAH ABDUL HUSHARY