17 SEPT : Projek pemuliharaan Penyu Karah di Padang Kemunting, Tanjung Bidara bakal menjadi produk pelancongan baharu di Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kajian terperinci dijalankan bagi menilai potensi kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan bagi memberi peluang pelancong menyaksikan sendiri habitat dan Penyu Karah bertelur apabila tiba musimnya.
“Pastinya saya nak jadikan Tanjung Bidara ini sebagai satu pusat pelancongan baharu yang punya daya tarikan iaitu pemuliharaan penyu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Program Pelepasan Anak Penyu Karah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dekat Padang Kemuting, hari ini.
Menurutnya, usaha mempromosikan kawasan itu akan dibuat selepas segala kemudahan berkaitan siap sepenuhnya.
“Pastinya ada (kolaborasi dengan Kementerian Pelancongan),” katanya.
Selain itu, beliau berkata pelancong akan diberikan maklumat terperinci mengenai waktu dan tarikh Penyu Karah naik ke pantai bagi membolehkan mereka menyaksikan sendiri proses berkenaan.
Pada masa sama, kawasan Padang Kemunting kini sudah menerima lebih 80,000 pengunjung, selain mempunyai galeri, pusat penerangan dan kolam yang membolehkan pengunjung melihat penyu dengan lebih dekat.
Ab Rauf berkata, Melaka tidak berhasrat untuk menandingi Terengganu dari segi tarikan penyu namun Melaka akan mengetengahkan keunikan Penyu Karah di Pantai Padang Kemunting, Tanjung Bidara sebagai tarikan tersendiri selain meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemuliharaan spesies berkenaan.

OLEH : MAISARAH HIJANAH ABDUL HUSHARY