25 MEI: Arab Saudi belum memuktamadkan jumlah kuota bagi jemaah haji Malaysia melaksanakan ibadah itu pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad, berkata sehingga kini kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu keputusan kerajaan negara itu berhubung perkara berkenaan.
Katanya, Malaysia akan akur dengan keputusan kebenaran mengerjakan haji dan jumlah kuota jemaah negara ini yang diberikan Arab Saudi nanti.
“Kerajaan Malaysia akan mengumumkan keputusannya kepada bakal jemaah haji sejurus mendapat kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” kata menerusi kenyataan di Facebook, malam tadi.
Zulkifli berkata, sementara menunggu keputusan itu, TH melakukan persediaan operasi haji di tanah air dan Tanah Suci yang sememangnya dimulakan sejak tahun lalu, bertujuan memastikan kelancaran urusan jemaah Malaysia.
“Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas ketika bakal haji melapor diri, malah TH mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi aspek persediaan kesihatan serta keselamatan jemaah.
“Persiapan juga sudah dilakukan di Makkah dan Madinah daripada segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN