28 JUL: Parlimen Thailand dijadualkan bersidang pada 4 Ogos ini untuk mencuba sekali lagi memilih seorang Perdana Menteri.
Ketika ini, kebuntuan politik di negara itu terus berlarutan walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) sudah berlangsung lebih dua bulan apabila diadakan pada Mei lalu.
Dua percubaan oleh Parti Move Forward (MFP) yang memenangi PRU memohon pemimpinnya, Pita Limjaroenrat disahkan sebagai Perdana Menteri kini disekat oleh Ahli Parlimen Konservatif dan Senat yang sebahagian besarnya dicalonkan oleh tentera.
Parti Pheu Thai, yang menduduki tempat kedua pada PRU Mei lalu dan menyertai pakatan lapan parti dengan MFP, dijangka membuat bidaan seterusnya untuk jawatan Perdana Menteri.
Pengundi di ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu memberi MFP kemenangan mengejut dalam pilihan raya itu, menewaskan pesaing disokong tentera yang sebelum ini mendominasi arena politik hampir keseluruhan dekad yang lalu.
Bagaimanapun Senat yang dicalonkan oleh tentera dan penentang dari konservatif menolak Pita lalu menghalang percubaannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Dokumen Parlimen yang menggariskan agenda pada 4 Ogos ini menyatakan, dewan akan “menimbang dan mengesahkan individu yang sesuai untuk menjadi perdana menteri”.
Bagaimanapun, Speaker Dewan, Wan Muhamad Noor Matha memberitahu pemberita di Parlimen, sebelum agenda itu dikeluarkan, undian itu mungkin ditangguhkan kerana semakan mahkamah belum selesai terhadap keputusan sebelum ini.
Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Khamis depan dijangka menyemak petisyen berhubung keputusan awal bulan ini untuk menyekat pencalonan Pita untuk jawatan tertinggi.
Kata Wan Noor, jika mahkamah menerima petisyen itu, undi Parlimen pada hari berikutnya akan ditangguhkan.