29 OGOS: Isu infrastruktur, perumahan untuk rakyat dan peluang pekerjaan akan menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat sekiranya diberi mandat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang berlangsung 9 September ini.
Katanya, beliau bertekad memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Pulai apatah lagi kerusi yang terletak di pusat bandar raya itu memerlukan tumpuan khusus supaya masyarakatnya sentiasa mendapat pembelaan kerajaan dan tidak terpinggir.
“Jika saya diberi mandat dan kepercayaan sebagai Ahli Parlimen Pulai, isu utama yang akan diperjuangkan ialah infrastruktur termasuk perumahan serta peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Isu pendidikan, sosial dan pembangunan modal insan juga akan diberi tumpuan utama supaya rakyat Pulai mendapat manfaat daripada limpahan kemakmuran negara,” katanya kepada pemberita.
Pada masa sama, Suhaizan juga mahu meneruskan perjuangan dan legasi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai yang memberikan perkhidmatan cemerlang membantu rakyat setiap lapisan dan golongan tanpa gagal.
“Namun, semua janji dan fokus digariskan ini hanya dapat saya perjuangkan apabila PH mendapat kemenangan di Parlimen Pulai,” katanya.
Oleh itu, Suhaizan berharap pengundi akan mengekalkan kerusi Parlimen itu dalam penguasaan Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan semua perancangan berkenaan dilaksanakan.
Dalam pada itu, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, beliau akan memperjuangkan isu serta permasalahan rakyat di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang banyak di kawasan Pulai.
“Parlimen Pulai terletak di tengah bandar raya Johor Bahru dan ada empat PPR besar di Kempas, Melana, Uda Utama serta Perling yang memerlukan perhatian berikutan jumlah penduduk yang tinggi di situ.
“Banyak isu perumahan, penempatan penduduk serta infrastruktur perlu diberikan perhatian terutama masalah komuniti termasuk parkir, lif, jalan serta perparitan yang menjadi rungutan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.