6 JUN: Saranan supaya calon Barisan Nasional/UMNO menang tanpa bertanding pada PRK DUN Chini hanya akan diketahui pada hari penamaan calon pada 20 Jun ini.
Ketua Penerangan UMNO,Shahrir Hamdan berkata, pada tarikh tersebut akan diketahui sama ada calon BN yang akan mempertahankan kawasan yang dimenangi pada PRU 14 yang lalu bakal dicabar atau sebaliknya.
“Apa pun keputusannya pada 20 Jun itu nanti kita ingin tegaskan bahawa sama ada PRK DUN Chini akan ada pertandingan atau tidak, jentera kita di semua peringkat tetap bersiap siaga.
“ Kita akan terus bersiap saga dan melakukan apa jua persedian awal yang diperlukan kerana dalam politik ini apa jua kemungkinan boleh berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, dalam kata mudah, PRK Chini ini bagi UMNO, ibarat datang tidak berjemput, pergi tidak dihalang dan UMNO akan sentiasa terus bersiap sedia.
Beliau turut menyambut baik saranan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar semua pihak baik parti politik mahu pun calon Bebas memberi laluan kepada calon BN untuk menang tanpa bertanding pada PRK DUN Chini nanti.
Menurut Shahrir, saranan itu bukanlah sama sekali bermakna cuba menafikan sistem demokrasi di negara ini tetapi berdasarkan beberapa faktor terkini seperti penularan wabak Covid- 19 dan pemulihan semula ekonomi negara.
“Pada masa yang sama kita turut menyambut baik keputusan yang dibuat PKR hari ini yang mewakili Pakatan Harapan bahawa mereka tidak akan meletakkan calon mereka untuk bertanding pada PRK DUN Chini,” tambahnya lagi.