3 MAC : Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri turun padang melihat sendiri pematuhan Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan kepada Pemuzik jalanan atau busker yang telah dibenarkan beroperasi sejak 26 Febuari yang lalu.
Menerusi catatan di laman Facebook beliau, Nancy yang berkesempatan turun padang hari ini melihat persembahan busking di KL Sentral Arrival Hall, Kuala Lumpur itu bersyukur kerana Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan berjalan dengan lancar.
“Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd Noormah Mohd Noor, pihaknya bukan sahaja menyediakan ruang yang luas bagi membolehkan persembahan Rhythm @ KL Sentral Buskers Performances mengikut SOP yang ditetapkan MKN, malah turut memantau serta mengawal keadaan di situ bagi mengelak orang ramai daripada berkumpul.
“Saya berpuas hati melihat sendiri persembahan busking yang diadakan dengan pematuhan SOP seperti yang ditetapkan MKN,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan membenarkan busker beroperasi setelah menerima rayuan daripada pihak pemuzik jalanan atau buskers sepenuh masa khususnya yang menjalankan aktiviti mereka di kedai-kedai makan agar dibenarkan semula termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, kebenaran beroperasi ini adalah dengan syarat yang perlu sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) asas termasuk menjaga jarak dengan pengunjung.
Dalam pada itu, Nancy memberitahu ramai di kalangan busker yang ditemuinya gembira kerana dapat menghiburkan semula orang ramai dalam suasana norma baharu.
“Untuk pengetahuan semua, inisiatif ini telah lama dirancang sejak bulan Julai tahun lalu bagi membantu artis buskers yang terkesan Ketika berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.
“Inisiatif tersebut bagaimanapun beberapa kali tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Aktiviti busking hanya mula dibenarkan pada 6 November 2020 dan tertangguh sekali lagi pada 10 Januari 2021 berikutan PKP. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH