4 APRIL : Dakwaan seorang pemilik akaun Facebook yang menyatakan seorang anggota polis di Gerik meninggal dunia disebabkan komplikasi dos kedua vaksin COVID-19 adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun Facebook tersebut yang dikenali ‘Junaidah June’ kerana didapati menyebar berita palsu.
Menurut beliau, pemilik akaun berkenaan melakukan perbuatan yang mendatangkan kegusaran terhadap masyarakat bagi menerima vaksin tersebut.
“Keluarga anggota polis terbabit, Koperal Rakmin Yusoff turut menerima kesan akibat daripada penyebaran berita palsu berkenaan.
“PDRM Perak mengesahkan bahawa kematian pegawai rendah polis yang ditularkan itu adalah tidak benar. Anggota berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping kerana mengalami masalah jantung tersumbat.
“Keadaannya kini sedar sepenuhnya dan stabil. Anggota daripada daerah Gerik itu akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Justeru, Mior Faridalathrash menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenyataan tanpa kesahihan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming ketika dihubungi turut menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial itu.