16 OGOS : Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan pembukaan sesi persekolahan bersemuka yang dijadualkan pada 1 September akan ditangguhkan kepada 3 Oktober depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pembukaan akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas membabitkan peperiksaan, dengan perincian mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri fasa satu PPN.
“Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai pembukaan semula sekolah.
“Percayalah dalam setiap keputusan yang kami ambil untuk membuka sekolah, keselamatan anak-anak kita sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi video, malam tadi.
Walau bagaimanapun, Radzi memaklumkan kementerian sedar ramai ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka dapat belajar secara bersemuka di sekolah dengan guru-guru dan dapat bermain dengan rakan-rakan mereka.
“Saya bagi pihak KPM memohon jasa baik semua agar terus memberi kepercayaan kepada kami untuk kita dapat bersama melakukan yang terbaik demi untuk generasi pewaris negara kita.
“Dengan kerjasama erat antara KPM dan ibu bapa serta seluruh masyarakat, kita yakin pembukaan sekolah nanti dapat berlangsung dalam keadaan lancar dan selamat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini juga, jumlah guru yang sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19 adalah seramai 92.4 peratus manakala untuk anggota kumpulan pelaksana (AKP) 87.9 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.
Pada masa sama, Radzi juga memberi jaminan, jika sesi persekolahan bersemuka sudah sedia dibuka kelak, makluman lebih awal kepada ibu bapa dan penjaga akan dibuat bagi memudahkan persediaan dilakukan.
“Setakat hari ini juga, 72.4 peratus kakitangan di sekolah sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama. Apabila saya sebut kakitangan sekolah, kita merujuk kakitangan keselamatan kebersihan, kantin dan pemandu bas sekolah.
“Kerjasama baik task force antara KPM dan CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19) membolehkan jumlah guru AKP dan kakitangan sokongan yang divaksin meningkat dari hari ke hari sehingga pada tahap yang kita ada pada hari ini,” katanya.