8 SEPT: Indonesia sedia membantu Malaysia menyelesaikan isu lambakan mayat warga asing terutama rakyatnya di hospital di seluruh negara ketika ini.
Bagaimanapun, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata biarpun sehingga kini Indonesia belum menerima angka rasmi bilangan rakyatnya meninggal dunia akibat COVID-19 di negara ini, namun republik berkenaan sentiasa terbuka untuk membantu kerajaan menghubungi waris mereka.
Bagaimanapun, Hermono berkata banyak kes terbantut kerana warga asing yang meninggal berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah sekali gus menyukarkan pencarian waris.
“Mereka tetap dikebumikan di sini pada satu tempoh tertentu sekiranya waris tidak dapat ditemukan kerana sukar membawa pulang mereka yang meninggal akibat COVID-19.
“Kita juga bukanlah tidak mahu melambatkan pengebumian, namun prosesnya memerlukan persetujuan daripada waris.
“Mencari waris juga tidak mudah kerana banyak kes yang tidak ada sebarang dokumen yang dipegang. Kita pun tidak pasti sebetul-betulnya warga Indonesia, berkemungkinan juga warga lain kerana (fizikal dan rupa) agak mirip yang memungkinkan warga Indonesia, Malaysia, Nepal atau warga lain,” katanya.
Hermono berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kempen Derma Darah yang dianjurkan Pejabat Kedutaan Indonesia Kuala Lumpur dengan kerjasama Pusat Darah Negara.
Kempen itu dianjurkan sempena memperingati ulang tahun kemerdekaan Republik Indonesia dan Malaysia yang melibatkan kira-kira warganya.
Pada 3 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan komitmennya untuk menyelesaikan
isu lambakan mayat warga asing mangsa COVID-19 yang tidak dituntut waris, secepat mungkin
Berikutan itu, Khairy berkata, pihaknya sedang berusaha menghubungi waris mangsa terbabit melalui kedutaan asing dan Wisma Putra.
Khairy berkata antara langkah penyelesaian dipertimbangkan ialah menghantar jenazah atau mayat mangsa pulang ke negara asal, selain dikebumikan di Malaysia.