9 SEPT : Angka kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) disebabkan wabak COVID-19 ketika ini kekal menunjukkan penurunan di bawah paras 1,000 kes iaitu 967 kes namun meningkat 904 kes berbanding, semalam.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga menjelaskan 430 kes memerlukan bantuan pernafasan hari ini telah mencatatkan penurunan di bawah para 500 kes sejak 30 Ogos lalu.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kes sembuh COVID-19 iaitu 22,701 kes yang berjaya melepasi kes baharu jangkitan wabak itu iaitu 19, 733 kes, di mana kes sembuh kekal menyaingi angka ini sejak 3 September lalu.
“Jumlah kematian COVID-19 juga mencatatkan penurunan apabila merekodkan 323 kes berbanding semalam 361 kes menjadikan jumlah kumulatif kematian yang direkodkan negara sebanyak 19,486 kes.
“Daripada 19,307 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 302 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 19,005 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Secara amnya, kita dapat melihat sedikit penurunan jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di dalam negara di mana purata nilai Rt juga kini di bawah 1.0 iaitu 0.97,” katanya menerusi sidang media di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Khairy Jamaluddin memaklumkan negeri-negeri di Lembah Klang , Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Melaka menunjukkan situasi yang lebih baik dan didapati terus menunjukkan tren yang positif.
Sementara itu, beliau memberitahu kluster baharu merekodkan 27 kluster dan daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain.
“Jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 5,002 dan sebanyak 3,572 kluster telah ditamatkan di samping hanya 1,450 kluster yang masih aktif,”katanya.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, individu yang sudah melengkapkan vaksinasi namun belum menerima sijil digital boleh menggunakan kad vaksin yang diterima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Beliau berkata, pihaknya menyedari mengenai kebimbangan ramai yang sudah melengkapkan vaksinasi tetapi data itu masih belum dikemaskini dalam aplikasi berkenaan.
“Pihak MySejahtera sudah diarahkan untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh seminggu. Buat waktu sementara, saya benarkan kad vaksin dapat digunakan.
“Mereka yang berada di Selangor dan menerima vaksinasi melalui Program SELvac, mereka boleh menggunakan sijil digital dalam aplikasi SELangkah sehingga mereka mendapat sijil digital dalam MySejahtera,” katanya-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH