9 SEPT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan data dan maklumat berhubung COVID-19 di dalam negara dengan lebih terperinci untuk diakses oleh semua pihak dengan kewujudan laman web baharu KKM, COVIDNOW.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebelum ini KKM telah memuat naik data granular ke dalam GitHub yang mana data yang dimasukkan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, menerusi laman web baharu berkenaan, ia akan memaparkan data yang lebih mudah difahami serta diakses oleh masyarakat umum.
“Data bagi vaksinasi oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) juga dimuat naik ke GitHub. Malaysia antara negara terawal yang berkongsi data secara terbuka namun, paparan data di GitHub dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang mahir dengan sains data.
“Oleh itu, bermula hari ini, seiring dengan hasrat saya untuk lebih telus dalam perkongsian maklumat, KKM akan melancarkan laman web baru iaitu COVIDNOW.
“Selain itu, usaha untuk melakukan perubahan tingkah laku dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipertingkatkan supaya kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus COVID-19,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Beliau menambah, lawan web berkenaan boleh dilayari bermula jam 6 petang ini di pautan https://COVIDNOW.moh.gov.my.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan pihaknya melihat kemungkinan untuk memberikan dos penggalak dalam usaha menangani peningkatan mendadak kes di beberapa negeri di negara ini.
Menurut beliau, ia susulan peningkatan kes COVID-19 di Sarawak biarpun kadar vaksinasi sudah melepasi 80 peratus ketika ini dan turut menyifatkan berkemungkinan disumbangkan daripada penurunan keberkesanan vaksin selepas beberapa bulan pemberian vaksin dilaksanakan di negeri tersebut.
“Ia juga dapat juga dilihat di beberapa negara yang sudah mencapai imuniti kelompok dan jumlah pemberian vaksin yang tinggi seperti Singapura dan Israel.
“Beberapa negara juga sudah memulakan pemberian dos tambahan terhadap penduduknya. Kita sudah tentu tidak mengetepikan untuk memberikan dos penggalak.
“Saya sudah meminta laporan untuk cadangan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) minggu depan. Selepas itu, saya akan berbincang dengan kerajaan Sarawak mengenai strategi selepas itu.
“Namun, saya juga mahu menambah kerajaan Sarawak sudah mengambil langkah proaktif bermula semalam untuk memberikan vaksin kepada golongan remaja yang dilakukan dengan segera untuk memastikan liputan vaksinasi terhadap seluruh populasi meningkat,” katanya
Sementara itu, Khairy Jamaluddin menjelaskan semua pesakit COVID-19 kategori 2 dan kategori 3 yang berisiko tinggi akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) selepas ini.
“Saya sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri untuk memberikan alat peranti perubatan untuk mengukur kadar oksigen kepada pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah masing-masing jika mereka juga dikategorikan sebagai berisiko tinggi,” katanya. –Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH