28 FEB: Ketetapan terkini solat Jumaat di Selangor yang menjadi rungutan ramai dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ketetapan tersebut adalah berdasarkan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat arahan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 21 Februari.
Menurutnya, perkenan tersebut tanda keprihatinan baginda untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berikutan perkembangan terkini wabak tersebut.
“Pendekatan menggalakkan rakyat Selangor mengambil dos penggalak adalah bertepatan dengan salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu ‘memelihara nyawa.’
“Kerajaan Selangor amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat serta sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, kerajaan Selangor yakin bahawa perkenan Sultan Sharafuddin yang mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi menyertai solat Jumaat di masjid adalah berasaskan konsep Fiqhiyyah iaitu sadd adz-dzara’i.
“Konsep ini bermaksud mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya.
“Kerajaan Selangor menasihati rakyat negeri agar segera mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam,” katanya.