12 DIS : Usul Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait Batu Puteh dibawa ke Dewan Rakyat bukan bertujuan mendakwa individu tertentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan ia bagi membuka ruang kepada kerajaan untuk mengambil cadangan dan keputusan bagi memperbaiki kelemahan yang berlaku.
“… nak tuduh atau tidak adalah isu Peguam Negara, bukan isu kerajaan. Dalam Perlembagaan, semua tahu bahawa Peguam Negara ialah individu yang bebas.
“Kalau laporan polis ada, polis buat siasatan kemudian Peguam Negara buat keputusan. Kalau setakat hari ini tiada laporan polis, takkanlah kita dalam Dewan boleh arah polis siasat, boleh suruh Peguam Negara dakwa, mana boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ke Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, usul itu di bawa untuk dibahaskan sebagai bukti bahawa pentadbiran Kerajaan Madani telus dan rakyat mengetahui apa yang berlaku.
Azalina sempat mengingatkan bahawa keputusan penubuhan petugas khas untuk menyemak semula isu Batu Puteh itu dicapai bersama oleh kerajaan yang turut disertai pembangkang sebelum ini.
“…mereka pun bersetuju tetapi perbezaannya sampai hari ini, mereka bersetuju laporan ini masih dirahsiakan tetapi Kerajaan Madani nakkan laporan ini tidak dirahsiakan. Kerajaan Madani nak rakyat tahu,” katanya.
Menjawab pertikaian 47 halaman laporan itu yang dihitamkan atau dipadamkan, Azalina menjelaskan perkara itu dilakukan atas faktor keselamatan negara, hubungan diplomatik yang sensitif serta perlindungan privasi individu susulan terdapat kandungan melibatkan pertahanan, perisikan dan perkara strategik lain.
“Dari segi sensitif diplomatik pula, kawasan perairan Batu Puteh adalah laut wilayah yang masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.
“Selain itu, terdapat kandungan laporan ini mengandungi maklumat sensitif berkaitan rundingan yang sedang berjalan serta butiran perbincangan antara kedua-dua negara yang boleh menjejaskan hubungan berterusan atau rundingan masa depan,” katanya.

Hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan 10 ahli Parlimen membahaskan usul Laporan RCI setebal 217 muka surat itu.