Subsidi pelajar beli tiket penerbangan naik kepada RM400
12 DIS : Kerajaan menaikkan kadar bantuan subsidi bagi pembelian tiket penerbangan, FLYSiswa daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita baik itu pada Karnival Pengangkutan Siswa MADANI di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.
“Saya umumkan (bantuan subsidi pembelian tiket) naik RM400,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan membantu mengurangkan beban pelajar di institusi pengajian tinggi.
“Manusia ini layak mempunyai nilai manusiawi, ini tumpuannya. Sebab itu beban mahasiswa ini kita cuba ringankan, kita mahu anak-anak pusatkan perhatian (dalam pengajian).
“Bagi saya ini satu permulaan bagaimana ekosistem, anak-anak menguasai bidang ilmu itu diberi kesempatan supaya kita boleh bersaing dengan gagah dan berjaya,” katanya.
Tambahan bantuan itu dijangka akan memanfaatkan kira-kira 60,000 pelajar yang menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut Kementeri Pengangkutan (MOT), semenjak dilaksanakan pada 2023 hingga 10 Disember lalu, bantuan subsidi tiket penerbangan itu memberi manfaat kepada 74,500 orang pelajar atau 73 peratus daripada keseluruhan 102,150 pelajar yang layak.
Ia melibatkan pelajar daripada universiti awam, politeknik, kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, kolej matrikulasi, Institusi Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan.
Pelajar yang layak boleh mula membuat semakan menerusi laman sesawang MOT bermula 1 Januari ini.
Inisiatif ini merupakan manifestasi Kerajaan Perpaduan bagi memastikan isu kos sara hidup dapat ditangani.
