Pengampunan: Anwar tidak berdendam dengan Najib
12 DIS : Sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas beliau perlu bersikap adil terhadap setiap banduan termasuk Datuk Seri Najib Razak.
Jelasnya, sebagai pemimpin negara beliau tidak boleh berdendam atau mempunyai hasad dengki kerana setiap banduan berhak mengemukakan rayuan pengampunan.
“Ada yang marah kerana saya bawa kes Datuk Seri Najib untuk dipertimbang dalam Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong (terdahulu).
“Saya dibawa masuk penjara kali pertama bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, kali kedua masa Najib, tapi sekarang saya perdana menteri, saya tak boleh berdendam dan hasad dengki.
“Saya kata ‘ampun Tuanku, selayaknya semua orang berhak memohon, apakah mahu dipertimbangkan oleh lembaga atau diperkenan oleh Tuanku?’, itu kemudian. Tetapi hak merayu harus ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian FlySiswa 2024 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.
Menyentuh soal kecaman yang diterimanya berkait isu pengampunan itu, Anwar menyifatkan individu tersebut sebagai kurang berilmu yang tidak membaca sepenuhnya.
“Satu pihak kecam saya kerana bawa agenda, walhal saya hanya menggunakan tanggungjawab supaya adil untuk dipertimbangkan. Itu saya katakan sebab apa, ya salah tetap salah, sudah masuk penjara adalah ihsan atau kemanusiaan kita minta dipertimbangkan.
“Kemudian saya jawab begitu, wah dia kecam, (konon saya) nak tipu, nak selindung pasal titah dendum. Ini yang saya katakan berlaku kerana kedangkalan ilmu…maklumat tidak disampaikan kerana budaya kita, kadang-kadang budaya picisan, baca sekerat-sekerat.
“Amalan membaca, mencari kebenaran tidak ada tabayun. Tidak ada bicara soal Melayu, bicara soal Islam akhlak, tidak ada minat untuk mencari kebenaran, jadi ini masalah,” katanya.

*Foto: Facebook Anwar Ibrahim