Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke India
7 MEI : Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke India berikutan ketegangan yang tercetus dengan Pakistan.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dalam satu kenyataan memaklumkan ini termasuk rancangan bercuti ke negara itu.
“Memandangkan peningkatan ketegangan terkini antara India dan Pakistan, yang mana India melancarkan Operasi Sindoor ke atas Pakistan hari ini, Suruhanjaya Tinggi menasihatkan semua perjalanan tidak penting ke India, khususnya ke negeri yang bersempadan dengan Pakistan, ditangguhkan segera.
“Ini termasuk perjalanan untuk tujuan bercuti atau sebab tidak mendesak lain,” ,” kata suruhanjaya itu melalui kenyataan di X, hari ini.
Selain itu, rakyat Malaysia yang berada di India juga dinasihatkan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi dan memaklumkan keberadaan mereka melalui e-mel mwdelhi@kln.gov.my.
Bagi sebarang bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menerusi talian +90 11 2415 9300 atau +90 11 2415 9311 (talian umum/bilik operasi) serta +90 85 9555 0564 (pegawai bertugas dari jam 4.30 petang hingga 8 pagi).
Menurut suruhanjaya itu, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.
“Sila sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan berhati-hati pada setiap masa,” kata Suruhanjaya Tinggi itu lagi.
Ketegangan antara kedua negara tercetus susulan serangan pada 22 April di Pahalgam, Kashmir di bawah pentadbiran India, yang mengorbankan 26 orang.
Keadaan semakin meruncing pada awal Rabu, dengan kedua-dua pihak dilaporkan melancarkan serangan udara rentas sempadan.
Tentera India dan Pakistan juga dilaporkan berbalas tembakan di sepanjang Garis Kawalan yang membahagikan wilayah Kashmir.
*Foto : AP /M.D. Mughal